Friday, July 8, 2011

Harga emas RM202.57 segram


Permintaan kukuh pengguna serta pelabur global menjelang 2014

HARGA emas dijangka meneruskan aliran meningkatnya sehingga mencecah AS$2,100 seaun atau AS$67.5 (RM202.57) segram menjelang 2014, meningkat 33 peratus berbanding harga semasa AS$1,527.2 (RM) atau AS$49.1 (RM147.32) segram susulan permintaan kukuh pengguna serta pelabur global.

Menjelang awal tahun depan, harga emas dijangka meningkat melepasi paras AS$1,600 seaun atau AS$51.4 (RM157.34) segram, 4.3 peratus lebih tinggi berbanding harga semasa. Terdapat kaitan ketara antara pendapatan isi rumah di China dan India dengan harga emas berikutan peningkatan pendapatan boleh guna di dua negara pembeli emas utama dunia itu yang mana akan menggalakkan permintaan logam berharga berkenaan. Kumpulan perbankan universal yang memiliki lebih 1,700 cawangan di seluruh dunia itu, menjangkakan ekonomi China dan India akan terus mencatatkan pertumbuhan mantap, sekali gus melonjakkan pendapatan boleh guna rakyat di negara berkenaan.

Permintaan emas dijangka terus meningkat kerana pelabur melihat komoditi itu sebagai pelaburan lindung nilai.

Kebimbangan terhadap pemulihan ekonomi Amerika Syarikat (AS) juga menyebabkan bank pusat di seluruh dunia meningkatkan rizab emas masing-masing, justeru menyokong harga komoditi itu terus didagangkan pada harga tinggi.Keadaan kadar faedah benar yang masih negatif di AS menawarkan persekitaran yang baik untuk emas.Sejarah membuktikan pulangan dalam pelaburan emas sangat tinggi ketika kadar faedah sebenar adalah negatif. Bekalan emas dijangka mengalami kekangan dalam tempoh terdekat dan ia akan terus menyokong kenaikan harga komoditi itu.

Dijangkakan harga emas akan mencecah AS$2,100 pada 2014 dan AS$1,600 pada suku pertama 2012.

Pada suku keempat tahun lalu, permintaan barang kemas di India dan China masing-masing meningkat sebanyak 52.8 peratus dan 31.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Secara keseluruhan, permintaan barangan perhiasan emas global meningkat 8.5 peratus pada suku keempat lalu atau 575.2 tan berbanding tahun sebelumnya.

Pada akhir tahun lalu, harga emas ditutup pada AS$1,421.40 seauns, naik kira-kira 31 peratus berbanding 2009 didorong permintaan berterusan dari China dan jangkaan spekulator bahawa mereka akan meraih untung lebih daripadanya.

Ketua Strategi Pelaburan Standard Chartered Bank (Stanchart), Steve Brice
Disunting daripada Berita Harian Online

Monday, May 9, 2011

Inflasi di Malaysia boleh diurus


KUALA LUMPUR, 9 Mei — Inflasi di Malaysia pada ketika ini boleh diurus meskipun peningkatan tekanan bagi kadar digerakkan antara 3.0 dan 3.3 peratus tahun ini. Secara puratanya, inflasi Malaysia berada pada tiga peratus kecuali pada 2008 apabila ia meningkat hampir kepada lima peratus. Pengukuhan ringgit dikatakan akan mengimbangi beberapa kesan inflasi. Apa yang penting ialah memastikan bekalan makanan dan barangan asasi lain yang mencukupi dan menaikkan pendapatan,”. Tiada alasan untuk bimbang kerana pertumbuhan ekonomi masih tinggi antara lima dan enam peratus walaupun sekiranya inflasi meningkat kepada empat atau lima peratus. “Ini berbanding dengan negara-negara seperti China, Korea Selatan dan Filipina di mana inflasi mereka berada antara lima dan tujuh peratus. Bagi suku pertama tahun ini, diramalkan bahawa keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia meningkat sebanyak 5.2 peratus. Peningkatan inflasi sekarang adalah disebabkan harga minyak dan komoditi yang tinggi. - Ketua Ekonomi RAM Holdings Group Dr. Yeah Kim Leng.

Dalam masa yang sama, Kerajaan (diputuskan pada Mesyuarat Majlis Ekonomi) hari ini mengumumkan kenaikan harga gula sebanyak 20 sen kepada RM2.30 sekilogram selaras dengan langkah merasionalisasi harga runcit gula yang akan berkuat kuasa esok. Kenaikan harga gula sebanyak 20 sen, kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM283.4 juta setahun iaitu kadar subsidi 20 sen sekilogram.

''Langkah ini selari dengan strategi jangka panjang kerajaan untuk merasionalisasikan subsidi secara berperingkat-peringkat dan kerajaan dapat melakukan penjimatan sebanyak RM116.6 juta setahun. Walaupun perubahan harga runcit dibuat, harga runcit di Malaysia masih lebih rendah berbanding negara serantau seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina," Ditanya kemungkinan para peniaga pengambil kesempatan menaikkan harga makanan dan minuman, beliau berkata, para peniaga tidak sepatutnya menaikkan harga yang terlalu ketara kerana ia hanya melibatkan kenaikan kecil. Mungkin masih ramai yang tidak sedar implikasi daripada pengambilan gula berlebihan akan menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos yang lebih besar untuk merawat pesakit, kenaikan ini diharap dapat mengubah gaya hidup orang ramai,". Menurutnya, pihak kementerian akan melakukan kajian setiap enam bulan bagi melihat keperluan penyelarasan subsidi harga gula.katanya. - Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Mohd. Zin Mohd. Dom

Kenaikan harga gula kali ini adalah yang keempat selepas kerajaan berbuat demikian sebanyak tiga kali pada tahun lalu iaitu pada Januari (20 sen), Julai (25 sen) dan Disember (20 sen).

Apa yang dapat kita fahami ialah, inflasi sedang cuba dikawal oleh kerajaan dan beberapa langkah telah diambil. Kenaikan harga barangan adalah kesan daripada kadar inflasi ini. Kita masih dilegakan dengan berita pengukuhan ringgit setiap hari. Gula adalah barangan yang paling relevan untuk dinaikkan kerana ia boleh dijustifikasikan dengan faktor kesihatan.


Saturday, April 23, 2011

Nilai ringgit berpotensi cecah RM2.95 berbanding dolar AS

2011/04/23 MIDF Amanah Investment Bank Bhd menjangka nilai ringgit, yang ditutup di paras tertinggi sejak 1997 iaitu pada 3.0050 berbanding dolar Amerika Syarikat semalam, berpotensi meningkat mencecah RM2.95 dalam tahun ini. Mereka juga mendakwa, nilai mata wang tempatan akan meningkat lebih pantas jika Bank Negara Malaysia tidak campur tangan dalam pasaran mata wang. Pengukuhan ringgit akan menjadi pasaran kewangan negara lebih mantap dan pasaran saham lebih menarik.Nilai mata wang tempatan meningkat mencecah 3.0050 berbanding dolar AS semalam, paras tertinggi baru dalam tempoh 13 tahun berikutan peningkatan sentimen belian susulan spekulasi bahawa bank pusat akan membenarkan ringgit terus meningkat bagi mengurangkan kesan inflasi. Ia perlu diberi perhatian khusus kerana ia boleh mempercepatkan Malaysia mencapai sasaran menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Adakah ini petanda Ringgit Malaysia dan ekonomi Malaysia bagus atau pun dolar AS dan ekonomi dunia sekarang tidak menentu? Kalau ekonomi bagus mengapa kadar inflasi dijangka meningkat?

Wednesday, April 20, 2011

Indeks inflasi negara naik tiga peratus


2011/04/21. INDEKS Harga Pengguna (IHP), iaitu penanda aras bagi inflasi Malaysia naik tiga peratus kepada 102.4 mata pada Mac tahun ini daripada 99.4 mata mata pada bulan yang sama tahun lalu.

Jabatan Perangkaan dalam kenyataannya semalam berkata, berbanding Februari pula, indeks itu meningkat 0.1 peratus, disokong oleh indeks yang lebih tinggi dalam kumpulan utama, restoran dan hotel; pendidikan; pelbagai barangan dan perkhidmatan; perumahan; air; elektrik; gas dan bahan api lain; serta pengangkutan. Katanya, bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, IHP meningkat 2.8 peratus kepada 102.2 peratus berbanding 99.4 peratus dalam tempoh yang sama 2010 disebabkan kenaikan yang dicatatkan dalam indeks semua kumpulan utama kecuali pakaian dan kasut serta komunikasi. – BERNAMA

BNM campur tangan elak kenaikan ringgit


SINGAPURA 20 April - Bank Negara Malaysia (BNM) berserta bank pusat dari Korea Selatan dan Thailand telah bertindak untuk campur tangan dalam pasaran kewangan bagi memperlahankan lonjakan mata wang masing-masing.

Mata wang ketiga-tiga negara meningkat manakala dolar Singapura dan Australia yang berada di paras tertinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Keputusan Bank of China untuk mengawal yuan yang berada di paras tertinggi berbanding dolar AS menguatkan kedudukan mata wang Asia yang mengalami peningkatan.

Pada masa yang sama, bank-bank pusat di rantau ini telah mengetatkan polisi monetari mereka bagi membendung kenaikan inflasi.

Lonjakan mata wang asing hari ini disebabkan oleh pantulan sentimen mengambil risiko.

Setelah pulih daripada kebimbangan sementara tentang keadaan fiskal AS berikutan amaran penarafan Standard & Poor yang menyatakan pelabur akan berdepan risiko, menyebabkan lebih banyak wang memasuki ekonomi Asia yang pesat membangun.

Pakar Ekonomi Kanan Rantau Barclay's Capital , Wai Ho Leong berkata, minat risiko lebih baik dan peningkatan harga minyak merupakan faktor yang mempengaruhi kenaikan mata wang Asia.

''Harga komoditi tinggi membolehkan pembuat dasar mempunyai kemampuan untuk menahan pengukuhan mata wang sebagai memantau inflasi,'' katanya.

Manakala, berbanding ringgit Malaysia, dolar AS jatuh ke paras RM3.016 iaitu paras terendahnya sejak September 1997. Ia adalah lebih rendah berbanding penutup sebanyak RM3.023 semalam.

Ringgit kembali meningkat apabila Bank Negara Malaysia (BNM) membelinya, kata peniaga.

Dolar kini berada pada paras RM3.0155 dan BNM dijangka membeli lagi pada paras itu dengan jangkaan ringgit akan terus meningkat.

Peningkatan berterusan harga minyak akan menyokong ringgit dan BNM dijangka menaikkan kadar faedah pada mesyuaratnya pada 5 Mei hadapan. - DowJones

Monday, April 18, 2011

Lonjakan Inflasi


INFLASI! Bagi rakyat biasa di mana-mana negara seluruh dunia, perkataan ini hanya mempunyai makna yang negatif iaitu kenaikan harga barang dan kos sara hidup.

Situasi global jelas menunjukkan inflasi berlaku di semua sektor yang akhirnya memberi kesan paling mendalam kepada rakyat terutamanya penduduk berpendapatan rendah dan miskin di negara-negara dunia ketiga.

Zon Eropah yang merangkumi 17 buah negara pada bulan lalu mencatatkan peningkatan kadar inflasi paling tinggi dalam tempoh 29 bulan. Amerika Syarikat (AS) juga mencatatkan 0.5 peratus peningkatan inflasi kepada 2.1 peratus untuk Februari 2011.

Sri Lanka, India dan Indonesia merupakan antara negara yang mencatatkan kadar inflasi yang tinggi tetapi jauh ketinggalan berbanding Vietnam yang mencatatkan rekod peningkatan inflasi paling pantas di Asia dan tertinggi dalam tempoh dua tahun.

Filipina mengekalkan kadar inflasi 4.3 peratus untuk Januari dan Februari, China 4.9 peratus dan Singapura lima peratus (Februari). Thailand dan Malaysia pula mencatatkan antara kadar inflasi paling rendah di rantau ini dengan masing-masing 2.8 peratus dan 2.9 peratus untuk bulan Februari.

Namun, kadar inflasi Malaysia merupakan tertinggi dalam tempoh 22 bulan sementara Thailand turut mencatatkan kenaikan paling tinggi sejak 29 bulan lalu selepas rekod untuk bulan Mac 2011 melonjak kepada 3.14 peratus.

Jelas daripada rumusan tersebut, hampir semua negara di Asia dan seluruh dunia kini dibelenggu lonjakan inflasi yang dikaitkan dengan harga komoditi global.

Bank Pembangunan Asia (ADB) pula mengeluarkan amaran rantau Asia perlu mengawal kadar inflasi berikutan kenaikan mendadak kos makanan yang berlaku sepanjang Februari lalu boleh menggoncang kestabilan pembangunan rantau ini serta membawa kepada ketidakseimbangan pendapatan dan meningkatkan tekanan sosial masyarakat setempat.

ADB juga menjangkakan kadar inflasi rantau Asia akan melonjak kepada 5.3 peratus berbanding 4.4 peratus tahun lalu berikutan krisis nuklear di Jepun dan pergolakan di Timur Tengah.

Berdasarkan rekod terdahulu, purata inflasi jangka panjang di Malaysia adalah 2.9 peratus iaitu antara paling rendah di rantau ini. Namun, beberapa kejadian inflasi tinggi dicatatkan dalam tempoh 50 tahun lalu iaitu pada pertengahan 1970-an, awal 1980-an, 1990-an dan lewat tahun 2000.

Kejadian sekitar 1970-an dan 1980-an berkaitan harga makanan dan minyak dunia, 1990-an disebabkan permintaan domestik yang kukuh dan aliran masuk modal yang besar sementara inflasi sejak tahun 2000 dikaitkan dengan peningkatan berterusan harga komoditi global.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan baru-baru ini menyatakan tiga penyumbang utama peningkatan harga komoditi dunia iaitu faktor cuaca, kapasiti pengeluaran dan dasar larangan eksport.

Cuaca di seluruh dunia yang semakin sukar diramal telah menjejaskan pengeluaran termasuk di Rusia dan Kazakhstan yang dilanda kemarau sementara India dan Australia dilanda banjir.

Kapasiti pengeluaran makanan global yang cuma meningkat antara satu dan dua peratus setahun juga tidak dapat menampung keperluan penduduk dunia yang meningkat empat peratus setahun.

Berikutan kebimbangan terhadap bekalan, beberapa negara turut menghentikan eksport produk tertentu seperti Rusia yang melarang eksport gandum dan India melarang eksport bawang merah.

Kerajaan kini memantau 12 jenis bahan makanan yang dikategorikan sebagai barangan kawalan berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga 1946, di samping kawalan harga pada musim perayaan membabitkan 28 jenis produk.

Kempen bagi menjelaskan kenaikan harga barangan turut dibuat melalui radio dan televisyen, edaran risalah, roadshow di peringkat negeri, khidmat pesanan ringkas (SMS), sembang pengguna (kelab, persatuan, pertubuhan dan koperasi) dan perjumpaan bersama industri.

Namun, Pensyarah Ekonomi Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Amir Baharuddin berpendapat, masalah inflasi jangka pendek khususnya untuk Malaysia tidak akan memberi kesan besar.

"Tetapi, kerajaan perlu tumpu kepada risiko jangka panjang terutamanya dari segi sewaan tapak niaga (kecil atau besar) yang kini sudah terlampau tinggi.

"Kos sewaan ini seterusnya akan diserap ke dalam barang jualan dan akhirnya pengguna sendiri yang terpaksa menanggung 'kerasukan' pemilik premis mengaut keuntungan daripada peniaga," tegasnya.

Beliau turut mencadangkan kerajaan membuat ketetapan tahap maksimum kenaikan harga jualan dalam satu tahun bagi mengelakkan pihak yang tegar dan rakus mengambil kesempatan terhadap rakyat.

"Inflasi kita masih yang terendah tetapi jika semua (tuan premis, peniaga) tidak mengikut usaha kerajaan mengekang peningkatan inflasi, harga barang akan terus melonjak secara tidak formal (senyap)," ujarnya.

Amir juga menasihatkan semua pihak memberikan kerjasama dalam mengawal inflasi dan mengelakkan kenaikan harga sesuka hati kerana akhirnya mereka sendiri selaku rakyat negara ini akan menerima kesannya.

"Apa kerajaan Malaysia buat sekarang sudah mencukupi untuk mengawal inflasi tetapi masalahnya ada yang mengambil kesempatan berita masalah dunia seperti di Jepun dan Libya bagi menghalalkan tindakan mereka menaikkan harga jualan atau sewaan.

"Bencana global sedemikian bukannya berlaku setiap hari dan tidak sepatutnya digunakan sebagai alasan. Lebih teruk lagi, harga jualan yang sudah dinaikkan di negara ini tidak lagi diturunkan kemudiannya, walau apa pun yang berlaku," katanya.

Ini dakwanya dapat dilihat apabila harga rumah jatuh merudum ketika gawat 1997 dan 1998 tetapi ketika gawat 2008 harga rumah terus meningkat dengan sesetengah pihak sengaja membuat spekulasi kenaikan harga.

"Harga jatuh ketika gawat 1990-an kerana mereka ingin menjual lot rumah yang sudah siap tetapi pada 2008, harga rumah menjadi semakin mahal atas dasar 'ada pembeli yang mampu dan sanggup membeli'.

"Seperti berita kenaikan rumah di Pulau Pinang yang kononnya akan berterusan setiap tahun selagi ada orang yang membeli. Bila sudah tiada yang mampu membelinya nanti, maka lingkuplah sektor tersebut," ujarnya.

Harga Emas Dalam Tempoh 20 Tahun

Harga Emas Dalam Tempoh 20 Tahun