Wednesday, November 10, 2010

Syor emas jadi sandaran mata wang perlu dikaji

CADANGAN untuk kembali menjadikan emas sebagai asas sandaran kepada nilai mata wang utama dunia seperti dolar Amerika Syarikat (AS), euro, yen, pound dan yuan perlu dikaji dengan teliti bagi mengelak salah faham yang menjurus kepada reaksi negatif, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

“Banyak cadangan diterima untuk menjadikan emas sebagai standard sandaran bagi mata wang utama dunia, tetapi paling penting adalah ia perlu dikaji dengan teliti, termasuk kesannya. “Kita tidak mahu berlakunya reaksi keterlaluan kepada pembangunannya,” katanya kepada media di Kongres Akauntan Sedunia di Kuala Lumpur, semalam. Zeti berkata, keadaan pasaran tukaran asing yang teratur sangat penting bagi ekonomi terbuka seperti Malaysia.

Katanya, walaupun pasaran tukaran asing negara kini berada dalam keadaan teratur, peningkatan kemudahruapan dolar AS dijangka berlaku susulan keadaan situasi pasaran global tidak menentu.

Presiden Bank Dunia, Robert Zoellick, mendapat kritikan hebat daripada penggubal dasar dan ahli ekonomi Barat apabila beliau pada awal minggu lalu mencadangkan negara global menimbang penggunaan emas sebagai asas penetapan kadar tukaran mata.

Sistem itu katanya, mampu mengelakkan daripada spekulasi mata wang dan pelaksanaannya memerlukan pembabitan lima mata wang utama dunia iaitu dolar AS, euro, yen, pound dan yuan.
Bagaimanapun Zoellick semalam menarik balik kenyataan itu selepas menerima kritikan hebat.

“Saya tidak menyokong untuk kembali kepada kurun ke-19 apabila bekalan wang dikaitkan kepada emas,” katanya ketika menghadiri persidangan anjuran Bank Dunia di Singapura, semalam.

Beliau juga berkata, cadangan itu juga tidak termasuk dalam agenda pada mesyuarat negara G20 minggu ini.

Mesyuarat G20 dijangka memfokus kepada ketegangan berhubung tukaran mata wang asing dan ketidakseimbangan perdagangan dunia susulan terdapat negara anggota sengaja melemahkan nilai mata wangnya bagi menggalakkan eksport.

Harga emas melonjak ke paras tertinggi beberapa minggu lalu dan ketika ini berada di paras sekitar AS$1,400 seaun.

sumber : bharian online

Monday, November 1, 2010

dollar seperti tisu tandas - DR M

KUALA LUMPUR 1 Nov. – Penggunaan dinar emas perlu dipertimbangkan oleh semua kerajaan negara dunia kerana kestabilan nilainya berbanding penggunaan mata wang yang tidak menentu naik turunnya.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, langkah menggunakan dinar emas sebagai ganti mata wang utama seperti dolar Amerika Syarikat (AS) dalam pelbagai transaksi juga boleh menghentikan perang mata wang

Katanya, dolar AS kini sudah tidak bernilai seperti mana beberapa tahun dahulu dan penggunaan mata wang kertas juga tiada lagi sehebat sebelum krisis ekonomi pada tahun 1997/98 dan penggunaan dinar emas adalah jalan penyelesaian terbaik.

“Mata wang AS kini boleh dianggap sebagai tisu tandas kerana nilainya semakin menyusut dan tidak berharga berbanding emas yang diterima di semua negara dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Dunia Pertama Mengenai Riba di sini hari ini.

Bagaimanapun, kata bekas Perdana Menteri itu, dinar emas tidak sesuai untuk digunakan dalam urus niaga runcit seperti mana hasrat Kerajaan Kelantan yang mahu menggunakan dinar emas dalam transaksi jual beli.

Mengulas lanjut kata beliau, penyusutan nilai dolar AS pada ketika ini menjadi satu masalah yang cukup besar kepada negara-negara yang menyimpan dan bergantung kepada nilai mata wang itu.

“Jika setiap negara menurunkan nilai mata wangnya, pasti akan ada perang mata wang dan sudah tentu, menyumbang kepada krisis,” katanya.

Beliau tetap berpegang bahawa emas mempunyai nilai kukuh dan merupakan nilai yang lebih baik berbanding mata wang.

“Mata wang tidak ada sokongan kecuali dicari oleh orang ramai. Sekiranya negara-negara mula menurunkan nilai mata wang mereka, akan berlaku kekecohan dalam perdagangan antarabangsa,” kata Dr. Mahathir.

Terdahulu dalam ucaptamanya, negara-negara Islam mesti membangunkan pengurusan sistem kewangan Islam yang berhemat. Ia mesti lebih baik berbanding sistem kewangan konvensional sedia ada, yang mampu menampung kejutan dan tidak dimanipulasi penyangak.

Dengan peserta industri mencari jalan untuk mencergaskan kewangan, sistem kewangan global sendiri amat memerlukan pengurusan yang sempurna, katanya.

“Saya jangka kewangan Islam akan berkembang, tetapi cabarannya ialah pengurusan berhemat dan sistem yang lebih baik. Jangan ikut sistem konvensional yang berurusan dalam segala bidang,” katanya.

Antara gesaan beliau kepada negara Islam ialah menggunakan dinar emas sebagai alternatif, bagi mengurangkan pergantungan terhadap dolar AS sebagai mata wang global untuk perdagangan.

Harga Emas Dalam Tempoh 20 Tahun

Harga Emas Dalam Tempoh 20 Tahun