Maklumat EMAS
Wednesday, April 14, 2010
Ringgit dijangka meningkat kepada 3.05 berbanding dolar
KUALA LUMPUR 14 April - Ringgit dijangka beransur-ansur meningkat kepada 3.05 bagi setiap dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir tahun hadapan, seiring dengan pertumbuhan ekonomi yang bertambah baik, kata Kenanga Research.
Aliran meningkat ringgit berkemungkinan kekal teguh dengan China membayangkan kemungkinan melaksanakan semakan dasar bagi membolehkan yuan beransur-ansur mengukuh berbanding dolar AS.
Rizab Persekutuan AS juga membayangkan bahawa ia mungkin tidak akan menaikkan kadar faedah selepas 2010, kata firma penyelidikan itu dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Selain asas-asas makro dan kestabilan ekonomi global yang semakin baik, katanya, trend ringgit bagi jangka panjang akan banyak dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran, terutamanya reformasi mata wang yang mungkin dilaksanakan oleh China dan keputusan Rizab Persekutuan AS tentang kadar faedah.
Ringgit melonjak 14.4 peratus pada 2 Mac daripada paras terendah 3.7255 berbanding dolar AS tahun lepas, ketika pasaran kewangan global merudum, katanya.
Aliran meningkat ini agak sederhana berbanding pengukuhan rupiah Indonesia dan won Korea Selatan, masing-masing sebanyak 24.9 peratus dan 29.1 peratus dalam tempoh yang sama, dan ini membayangkan peningkatan selanjutnya bagi ringgit.
Selain itu, lebih banyak 'wang panas' dijangka memasuki sistem kewangan, dan seterusnya mencetuskan lebih banyak permintaan bagi ringgit, katanya.
Bagaimanapun, ketidakpastian prospek ekonomi negara-negara maju, mungkin menjadikan arah aliran meningkat ringgit tidak begitu lancar.
"Dengan demikian, kami menjangka trend ringgit terus berubah-ubah, dan berlegar pada sekitar paras 3.15 hingga 3.30 dalam tiga hingga enam bulan akan datang," tegas Kenanga Research.
Menurut Kenanga Research, arah aliran meningkat yang berterusan dan mendadak mungkin memberikan kesan sebaliknya kepada ekonomi.
"Untuk menyokong pemulihan ekonomi yang belum begitu mantap, kami menjangkakan Bank Negara Malaysia mengehadkan kenaikan ringgit untuk membantu eksport mengekalkan daya saing bagi menyemarakkan proses pemulihan yang masih lemah itu," katanya.
Tambahan pula, pengaliran modal yang besar ke dalam pasaran-pasaran baru berikutan itu, mungkin menyebabkan gelembung aset, kata firma penyelidikan itu.
Ini juga mungkin membayangkan bahawa sebarang kenaikan kadar faedah selanjutnya, adalah terhad.
Bagi menangani isu-isu ini, katanya, Bank Negara mungkin hanya menaikkan kadar dasar semalaman sebanyak 25 peratus lagi tahun ini.
Dengan pemulihan global dijangka semakin lemah dalam tempoh enam bulan kedua 2010 dan ditambah pula dengan ketidakpastian yang berlarutan, ringgit diunjurkan berada pada paras 3.27 bagi setiap dolar AS menjelang akhir tahun, kata Kenanga Research. - BERNAMA
Sunday, April 11, 2010
Ringgit terbaik di Asia, kuasa beli dijangka lebih baik
KUALA LUMPUR: Nilai ringgit bukan saja mencatatkan peningkatan kukuh berbanding mata wang utama seperti dolar Amerika Syarikat (AS) dan euro, malah meningkat berbanding mata wang serantau, sekali gus menjadikannya mata wang terbaik dari segi prestasi kenaikan di Asia, sejak Januari lalu. Kenaikan ringgit itu tidak hanya meningkatkan kuasa beli rakyat Malaysia di peringkat serantau, malah turut meningkat di Asia Barat, khususnya di Arab Saudi kerana ia lebih tinggi berbanding riyal sebelum ini.
Penganalisis ekonomi berkata, kenaikan itu mencerminkan peningkatan keyakinan pelabur dan peniaga terhadap prospek kukuh ekonomi negara serta agenda perubahan ekonomi yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Jumaat lalu, nilai ringgit melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh dua tahun kepada 3.184 satu dolar AS dan 4.2747 satu euro pada Khamis, tertinggi dalam tempoh hampir tujuh tahun sejak September 2003, sebelum ditutup kukuh pada 4.2976.
Selain itu, setiap satu ringgit kini boleh ditukar kepada 1.1779 riyal berbanding 1.1068 riyal pada 4 Januari lalu. Berbanding dolar Singapura, setiap ringgit kini boleh ditukar kepada 43.66 sen Singapura, meningkat daripada 41.32 sen, iaitu paras tertinggi sejak 14 April 2008.
Ringgit juga naik 2.47 peratus berbanding rupiah Indonesia, 3.36 peratus berbanding baht Thailand, 3.58 peratus berbanding peso Filipina, 7.74 peratus berbanding dong Vietnam, 1.54 peratus berbanding rupee India, 5.91 peratus berbanding dolar Hong Kong, 3.42 peratus berbanding won Korea dan 7.17 peratus berbanding yen Jepun.
Ketua Pengarah Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Datuk Dr Mahani Zainal Abidin yang juga ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) berkata pengukuhan nilai ringgit jelas menggambarkan Malaysia semakin mendapat perhatian di kalangan pelabur dan peniaga global.
Katanya, prospek pertumbuhan ekonomi yang bertambah baik serta usaha serius kerajaan untuk melaksanakan transformasi ekonomi juga mula membuka mata pelabur.
“Jelas bahawa sentimen pelabur global terhadap Malaysia kini bertambah baik, walaupun ada pihak di negara ini yang masih kurang yakin dengan pendekatan perubahan yang dilaksana kerajaan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mahani juga yakin Model Ekonomi Baru (MEB) yang diumumkan Najib baru-baru ini, berupaya memberi sokongan terhadap ringgit yang akan membawa kepada lebih banyak aliran masuk pelaburan asing ke negara ini.
“Bagaimanapun, ia bergantung kepada penerimaan rakyat dan pelaksanaan langkah yang akan digariskan dalam model berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Azrul Azwar Ahmad Tajudin, berkata peluang untuk ringgit turus meningkat khususnya berbanding dolar AS masih luas kerana mata wang tempatan itu agak ketinggalan berbanding kenaikan yang dicatatkan mata wang serantau sebelum ini.
“Saya jangka ringgit berpotensi terus mengukuh kepada 3.15 berbanding berbanding dolar AS. Sebelum ini, kenaikan mata wang tempatan agak perlahan berbanding mata wang serantau dan kini pelabur mula melihat potensi ekonomi negara, Justeru, ia menyokong kenaikan ringgit,” katanya.
sumber : bharian.com.my
Subscribe to:
Comments (Atom)